Sempena menyambut Ramadhan, pelbagai persiapan dilakukan. Yang paling utama dari segi dalaman, dan yang menjadi tunggak kepada yang utama itu adalah Shod Ba Ra~, SABAR.
Maksud sabar dalam konteks amalan batin adalah menahan hawa nafsu daripada dipengaruhi oleh sebarang gelora atau kegemparan hati atau tekanan jiwa atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa marah atau memberontak, resah – gelisah, tidak rela, sugul, kecewa atau putus asa akibat daripada pengalaman menghadapi kesusahan, ketidakselesaan atau sesuatu keadaan yang tidak disukai atau tidak diingini. Kesabaran harus meliputi empat tindakan, iaitu:
1.Tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah;
2.Menahan diri dari melakukan kemungkaran;
3.Memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan;
4.Tenang / teguh hati menghadapi cubaan atau musibah;
Sabar yang demikian adalah suatu tuntutan dalam agama dan merupakan satu ibadah, malah segala ibadah itu didirikan di atas sabar, kerana dalam mengerjakan ibadah itu kita terpaksa menanggung kepayahan dan pengorbanan. Malah, dalam segala lapangan, kita perlu bersabar dan menangani segala kesukaran dan rintangan yang dihadapi. Orang yang gagal mengawal diri dengan kesabaran tidak akan mencapai matlamat dan manfaat ibadahnya.
Antara tujuan kita disuruh mempertahankan kesabaran itu adalah:
Pertama, supaya dapat mengerjakan ibadah dengan tenteram dan dapat mencapai kesempurnaan, dzuq, seterusnya mencapai matlamatnya. Jadi, sesuai benarlah dalam bulan yang mulia ini, kita ambil peluang yang ada. Jika tidak bersabar, tekanan daripada pelbagai kesukaran atau dari padah musibah, keluh – kesah, lalu hilang pertimbangan. Keadaan ini tentulah akan mengganggu konsentrasi dan penghayatan dalam beribadah. Kadang – kadang hingga tidak dapat meneruskan ibadah.
Kedua, untuk mencapai kejayaan (kebajikan dunia dan akhirat). Antara firman Allah s.w.t tentang hal ini ialah:
“Dan kami jadikan antara mereka itu pemimpin yang memberi pertunjuk dengan perintah Kami ketika mereka bersabar”. [QS.32:24] “Mereka itulah orang-orang yang dibalas (dikurniakan) bilik (martabat yang tinggi di syurga) kerana mereka bersabar (menjunjung taat kepada Allah), dan mereka dialu-alukan di dalamnya (syurga) dengan penghormatan dan ucapan salam kesejahteraan (oleh para malaikat)”[QS.25:75] “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu dicukupkan ganjaran pahala mereka tanpa batas.”[QS.39:10] “Hai orang-orang beriman, bersabarlah kamu (melakukan taat dan menghadapi musibah), teguhkanlah kesabaran kamu, tetapkanlah kewaspadaan kamu dan siap sedia serta bertaqwalah kepada Allah agar kamu beruntung (merebut syurga dan bebas dari neraka).”[QS.3:200]
Apabila seseorang itu Berjaya mempertahankan kesabarannya dalam keempat-empat keadaan di atas, maka tercapailah darjat istiqamah dan taat dengan mendapat ganjaran pahala yang besar. Orang itu akan terjatuh ke jurang maksiat.
Saidina Ali Karramallahu Wajhah r.a pernah bermadah, maksudnya: Jika engkau bersabar, takdir itu berlaku juga ke atas dirimu, tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala. Jika engkau tidak sabar pun, takdir tetap berlaku juga ke atas dirimu dan engkau berdosa. Dalam konteks menghadapi ujian (qadhak) atau musibat atau malapetaka, seseorang hamba Allah itu insya-Allah, akan berjaya mengekallan kesabarannya, jika dia sentiasa mengingati dan mengekalkan kesedaran tentang hakikat atau hikmat musibah itu, jika hamba Allah itu sentiasa menaruh sangkaan baik terhadap Allah s.w.t.. Malah, dengan yang demikian, kesabaran dan keimanan akan bertambah teguh.
Ramadhan Hadirmu Dinanti :) Pergimu Ditangisi :(
0 comments:
Post a Comment