Aug 11, 2009

Transformasi UTM

|
Assalamualaikum, Salam buat sahabat di Rangkaian Kecintaan Neo Khilafah yang sudi singgah di ‘pondok kecil yang terbina di hujung tanjung…’ Alhamdulillah, dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan keizinannya dapatlah saya meneruskan penulisan setelah sekian lama beruzlah dari medan yang penuh artistik dan penuh kiasan dari pelbagai corak pemikiran. Dengan kemudahan yang ada kini, yakni kemudahan wireless yang boleh didapati dari bilik dan rasa ingin terus menyampaikan risalah Rasulullah, tak dapat tidak, medium penulisan melalui blog adalah suatu keperluan bagi saya selain penyampaian secara terus. Ini kerana hakikat penyampaian sesuatu secara terus melibatkan pertarungan masa yang selalu menghimpit peluang yang ada. Contoh termudah, hari rabu lepas, saya diberi peluang untuk menyampaikan public speaking untuk subjek Islam dan Isu-isu Semasa. Masa diberi untuk menyampaikannya hanya 3 minit. Sungguhpun dalam ruang masa yang singkat, saya cuba membawa pendengar-pendengar untuk membuka fikiran kolonisma yakni, pemikiran yang sudah terbiasa dan terdidik oleh pemikiran yang merosakkan seperti pengasingan agama dari kehidupan di dunia. Saya telah mengupas tajuk yang berkaitan teologi dan toleransi Islam terhadap umat manusia. Walaupun saya tahu dengan 3 minit yang diberi tidak memadai untuk merungkai isi-isi yang terkandung dalam buku yang menjadi rujukan , yakni A History of God yang dikarang oleh Karen Armstrong, bekas penganut agama Kristian Katolik dan buku-buku lain seperti People of The Book karangan Zachary Karabell dan karangan-karangan Sheikh Ahmed Deedat, tokoh tersohor dalam bidang perbandingan agama. Pada akhir penyampaian itu saya cuba melontarkan persoalan di benak hati para pendengar mengenai toleransi Al-Qur’an yakni penutup segala kitab atau juga The Last Testament, saya membaca maksud surah Al-Ma’idah ayat 82 : “ Demi, sesungguhnya engkau dapati manusia yang memusuhi orang-orang yang beriman, ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Demi, sesungguhnya engkau dapati orang yang lebih dekat kasih sayangnya kepada orang yang beriman ialah orang yang berkata: Sesungguhnya kami orang Kristian. Demikian itu, kerana di antara mereka (Kristian) ada alim ulama dan pendeta-pendeta, dan mereka itu tidak sombong.” ( Tafsir Mahmud Yunus ) Mengikut tafsiran tersebut (Keterangan ayat 82) : Orang-orang yang sangat memusuhi kaum muslimin adalah orang Yahudi dan orang musyrik (menyengutukan Allah swt). Orang-orang yang dekat sayangnya kepada kaum muslimin ialah orang Kristian (Masihi). Sebabnya ialah diantara orang-orang Kristian itu, ada orang-orang ahli ibadat dan pendeta-pendeta (paderi) yang memberikan pengajaran dan pendidikan kepada pengikut-pengikutnya. Apa lagi mereka itu dididik supaya bersifat rendah diri, mengasihi musuh dan memberikan pipi kiri kepada orang yang memukul pipi kanan dan sebagainya. Sebab itu, besar pengaruh pendidikan itu kepada umat Kristian sehingga mereka tidak sombong untuk menerima kebenaran. Inilah sebabnya ramai di antara orang Kristian yang memeluk agama Islam, tetapi sangat sedikit dari bangsa Yahudi. Beginilah yang terjadi semasa Nabi Muhammad s.a.w dan khalifah-khalifah baginda. Bahkan masa sekarang, kita lihat perhubungan yang baik dan persatuan yang erat kaum Muslimin dan Masihi di Mesir dan lain-lain, sebagai bukti atas kebenaran ayat Al-Qur’an ini. Adapun Peperangan Salib dahulu, antara kaum Muslimin dan Kristian, sebenarnya bukan kerana agama, melainkan kerana politik yang menggunakan agama sebagai alatnya. Begitulah usaha-usaha dalam penyampaian risalah dakwah sejak dari zaman Rasulullah sehingga kini, diteruskan oleh mata-mata rantai. Ingatlah pesanan Baginda s.a.w berbunyi: “ Balighu anni walau ayah..” yang bermaksud: “ Sampaikanlah dariku walau satu ayat..” Oleh itu, bagi memantapkan lagi mekanisma dakwah, bersama kita luaskan jaringan penyaimpaian melalui blog yang menembusi arena lain dan terbukti dengan pergolakan politik di Malaysia kini. Ketahuilah jua, kita bukan berjuang untuk kepentingan individu, pertubuhan atau apa-apa, tetapi suatu perjuangan suci dengan iringan tarbiah Islamiah untuk mencapai satu cita-cita iaitu Mardhotillah (Keredhaan Allah) Wallahu a’lam…INSYA’ALLAH… Takbir! Allahu Akbar!

0 comments:

Followers

Total Pageviews